KENYATAAN AKHBAR
AHMAD IKMAL ISMAIL
NAIB KETUA UMNO BAHAGIAN JERAI
Saya ingin mengalu-alukan pengumuman YAB Dato’ Seri Perdana Menteri mengenai pengwujudan skin Biasiswa Nasional untuk pelajar-pelajar SPM yang cemerlang tanpa mengira agama ataupun bangsa. Ini adalah satu idea yang positif bukan sahaja untuk pelaksanaan konsep 1Malaysia, malah langkah yang membina untuk masyarakat pada jangka masa panjang dan seterusnya satu lagi langkah mengurangkan secara perlahan-lahan penggantungan kepada “tongkat emas” selama ini .
Pengumuman ini juga membuktikan bahawa Kerajaan serius dan berada di landasan yang betul kerana sanggup berbelanja lebih banyak dana untuk memberi ilmu dan pengetahuan kepada pelajar-pelajar. Dengan adanya Biasiswa Nasional dan skim biasiswa yang sediaada, lebih ramai lagi anak-anak muda yang cemerlang dapat meneruskan pelajaran mereka di universiti-universiti terkemuka dan terbaik di dunia. Dalam masa 5 tahun (2 tahun pra-universiti dan 3 tahun universiti sekurang-kurangnya) dari sekarang, negara akan mendapat sejumlah pelajar yang telah dilatih di universiti-universiti terbaik serta bersedia untuk berkhidmat di dalam perkhidmatan awam membangun negara.
Saya ingin mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang akan mengendalikan Biasiswa Nasional ini beberapa perkara,. Saya memohon kepada JPA , demi kepentingan semua pihak dan ketelusan, untuk mengumumkan ciri-ciri Biasiswa Nasional ini termasuk:-
i. Jumlah Biasiswa yang disediakan;
ii. Kelayakan pemohon;
iii. Adakah merit yang dicadangkan hanya berdasarkan akademik semata-mata atau
termasuk penglibatan di dalam ko-kurikulum;
iv. Kriteria semasa temuduga;
v. Kursus-kursus yang mendapat keutamaan untuk pemberian Biasiswa Nasional.
Saya yakin, dengan pengumuman oleh YAB Tan Sri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran bahawa calon-calon SPM hanya boleh mengambil 10 subjek sahaja, ramai pelajar akan berjaya mendapat 10 A1 di dalam peperiksaan ini. Ini bermakna pihak JPA harus mencari kualiti-kualiti lain sebagai faktor-faktor memutuskan kelayakan dan seterusnya pemberian Biasiswa Nasional ini. Saya ingin mencadangkan bahawa dasar merit yang ingin digunakan ini patut mengambil kira akademik, ko-kurikulum serta kepimpinan di dalam aktiviti-aktiviti di sekolah. Proses temuduga pula patut dijalankan sebagai satu kem 3 hari 2 malam supaya dapat menilai dengan lebih baik setiap calon berbanding dengan proses sekarang di mana calon hanya berdepan dengan penemuduga 5 atau 10 minit.
JPA juga disaran menghadkan pemohon biasiswa ini kepada hanya 9A 1B ke atas. Ini akan menghapuskan sama sekali dakwaan serta gosip pihak-pihak tertentu yang kononnya pelajar-pelajar yang tidak layak akademik juga diberikan biasiswa seperti yang kedengaran setiap tahun.
Saya berharap Biasiswa Nasional ini akan dilihat sebagai satu anugerah terunggul dan menjadi rebutan pelajar-pelajar lepasan SPM untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Kita hanya inginkan pelajar terbaik untuk biasiswa ini tanpa mengira agama mahupun bangsa, maka proses pemilihan haruslah difikir dengan baik serta terperinci. Janganlah niat dan idea yang baik yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri bertukar menjadi satu perkara yang buruk dan dikritik kerana perkara – perkara yang boleh dielakkan.
AHMAD IKMAL ISMAIL
NAIB KETUA UMNO JERAI
New Malaysia Promised!
-
We are two quarters into the first 100 days of a Pakatan Harapan
government, already some concerns are beginning to appear, the most
disconcerting is tha...
6 years ago