Beberapa Gambar Sekitar Gerakerja Di Kawasan Jerai


SILA TEKAN PADA GAMBAR UNTUK MAKLUMAT PROGRAM. TEKAN KEMBALI UNTUK MULAKAN GAMBAR-GAMBAR SEKALI LAGI. Created by TCF

Wednesday, October 15, 2008

Press Statement Released 15 October 2008

KENYATAAN AKHBAR
AHLI EXCO PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

Saya ingin mengucapkan terimakasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi kerana telah menurunkan harga petrol sebanyak 15 sen lagi ke harga baru RM2.30 (Ron 97) dan harga diesel sebanyak 20 sen ke tahap RM2.20.

Ini menunjukkan keprihatinan pihak Kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat dari segi kos sara hidup. Langkah penurunan harga minyak ini akan memberi ruang kepada ramai pengguna kenderaan untuk mengurangkan kos perbelanjaan minyak dan seterusnya memperuntukkan perbelanjaan kepada pelbagai barangan keperluan lain untuk saraan keluarga. Langkah ini juga secara langsung dapat membantu para nelayan, petani dan golongan-golongan lain yang berpendapatan rendah.

Saya juga yakin pihak Kerajaan akan terus memantau perjalanan harga minyak di peringkat dunia , dan seterusnya menilai semula harga petrol dan diesel tempatan pada masa-masa yang sesuai.

Walaubagaimanapun, melihat kepada keadaan pasaran minyak mentah peringkat dunia pada masa kini yang sedang mengalami perubahan harga yang agak ketara dan amat cepat, Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi serta KPDN & HEP harus memikirkan satu mekanisme untuk dapat memberi reaksi yang lebih pantas kepada pasaran minyak mentah global. Mekanisme yang akan hanya menilai semula harga setiap hujung bulan jelas tidak boleh digunapakai lagi. Keputusan Kerajaan untuk mengumumkan harga baru kali ini selepas hanya 20 hari dari perubahan harga lalu adalah amat berpatutan. Malah, saya ingin mencadangkan bahawa Kerajaan menetapkan satu mekanisme baru yang akan mengira dan menilai semula harga pasaran minyak domestik setiap 14 hari. Ini akan memastikan bahawa sebarang penurunan harga minyak mentah di pasaran global akan dapat dinikmati dengan kadar lebih cepat lagi. Pada masa yang sama, sebarang kenaikan juga akan dimaklumkan dengan cepat supaya tidak berlaku masalah penyimpanan stok berlebihan dan sebagainya. Masalah kerugian yang dihadapi oleh stesyen - stesyen minyak dari segi pergerakan harga juga dapat di tangani.

Saya juga ingin melihat pengurangan harga minyak yang diumumkan semalam disusuli oleh pengurangan harga barangan dan perkhidmatan di seluruh negara. Pada masa kenaikan harga dahulu, ramai peniaga dan pengusaha memberi alasan kenaikan harga minyak sebagai faktor utama mereka perlu menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka. Dengan penurunan dari harga tertinggi sebanyak 40 sen untuk petrol dan 38 sen untuk diesel, saya yakin kos pengeluaran serta penghantaran di kilang-kilang juga menurun. Para peniaga dan pengusaha patut menterjemahkan penurunan harga minyak dan kos pengeluaran ini kepada penurunan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di dalam pasaran.

KPDN & HEP patut memainkan peranan untuk mengurangkan harga barangan dan perkhidmatan selaras dengan penurunan kos pengeluaran barangan tersebut. Adalah tidak adil jikalau para pengguna masih dibebankan dengan harga yang tinggi walaupun kos pengeluaran telah menurun. Pihak kementerian harus menghalang mereka yang sengaja tidak menurunkan harga barangan dan perkhidmatan mereka kerana ingin membuat keuntungan yang lebih. Pihak Kementerian juga patut tegas sehingga sanggup mengenakan denda tinggi atau menarik balik lesen perniagaan jikalau para peniaga engkar. Para pengguna harus dilindungi dan diberi keutamaan supaya mereka tidak dieksploitasi oleh peniaga.

Saya yakin langkah-langkah ini secara langsung dapat mengurangkan tekanan inflasi yang negara hadapi sekarang. Langkah-langkah ini juga akan membuktikan Kerajaan prihatin serta senantiasa berusaha mengurangkan bebanan dan masalah rakyat.



AHMAD IKMAL ISMAIL
Weblog – http://aikmal.blogspot.com/
Ahli EXCO merangkap Pengerusi Biro Pendidikan
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

No comments: